BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ahmad Zahid imbau kenyataan Nik Aziz harap PAS terbubar sendiri

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan harapan agar PAS mengenang kembali ‘wasiat’ yang pernah diucapkan oleh bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membubarkan parti itu selepas UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam perlembagaannya.

Justeru Ahmad Zahid berkata, beliau berharap PAS akan terkubur kerana UMNO telah melaksanakan apa yang diperkatakan oleh Nik Abdul Aziz pada 2019 yang lalu.

“Apabila arwah Nik Aziz menyebut bahawa jika suatu hari UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam perlembagaannya maka PAS akan terbubar, saya anggap itu sebagai satu wasiat.

“Sebab itu apabila saya mengambil alih kepimpinan UMNO, perkara pertama yang saya lakukan ialah meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan UMNO,” katanya.

Bagaimanapun Zahid berkata, PAS masih belum dibubarkan sehingga kini.

“Tetapi PAS belum terbubar lagi. Saya berharap PAS akan terbubar dengan sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Untuk rekod, UMNO pada Perhimpunan Agung 2019 meluluskan usul khas pindaan perlembagaan parti itu secara sebulat suara, antaranya meletakkan Islam sebagai asas utama, diikuti kepentingan bangsa dan negara.

Mengimbas kembali kenyataan Nik Aziz pada 2008, beliau pernah mencadangkan supaya UMNO dan PAS dibubarkan bagi menubuhkan sebuah parti baharu berteraskan Islam sebagai usaha menyatukan orang Melayu serta menjadi payung kepada semua kaum termasuk bukan Islam.

“UMNO bubar, PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan ke-37 di Machang.

Dalam ucapannya, Zahid turut menegaskan UMNO tidak pernah menolak Islam dan menafikan dakwaan parti itu mengeksploitasi agama demi kepentingan politik.

Beliau berkata, Islam telah dimartabatkan menerusi Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala kedudukan Raja-raja Melayu sebagai pelindung agama diperkukuhkan melalui Perkara 38.

“Itulah jasa besar UMNO yang tidak seharusnya dilupakan oleh mana-mana pihak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button