BERITA SEMASA

KBS gerakkan sukarelawan bantu mangsa banjir Terengganu

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menggerakkan Skuad Ihsan MADANI-SATRIA Rakan Muda ke Terengganu bagi Misi Penghantaran Bantuan Banjir.

Seramai 30 orang sukarelawan terlibat dalam siri pertama misi ini melibatkan sebanyak sebuah lori dan enam buah kenderaan pacuan empat roda.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, misi ini membawa barangan keperluan harian seperti bantuan makanan, keperluan harian, kit kebersihan serta peralatan pembersihan untuk membantu mengurangkan beban yang dialami oleh mangsa banjir.

“Kementerian juga akan melaksanakan program sukarelawan pasca banjir bagi membantu membersihkan kemudahan awam dan rumah-rumah yang terjejas banjir,” katanya.

Hannah berkata demikian selepas hadir melepaskan konvoi misi tersebut, di sini hari ini.

Hadir sama, timbalannya, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Setiausaha KBS, Dr K. Nagulendran.

Hannah memberitahu, misi ini digerakkan menerusi program Rakan Muda di bawah gaya hidup Rakan Prihatin, dan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan Humanitarian Development Global (RED A).

Selain menjalankan tugas-tugas pembersihan, kementerian menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) turut melaksanakan inisiatif lain yang memberi impak positif kepada komuniti seperti kerja-kerja pembaikan motosikal, penukaran soket elektrik serta pelbagai tugas lain yang dapat membantu masyarakat setempat.

Orang ramai khususnya golongan belia yang berminat untuk untuk mendaftar sebagai sukarelawan pasca banjir SATRIA KBS boleh melayari portal JBSN serta akaun media sosial Jabatan Belia dan Sukan Negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button