Golongan lelaki paling ramai bunuh diri, Selangor tertinggi – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR — Golongan lelaki dikenal pasti sebagai kumpulan tertinggi terlibat dalam kes bunuh diri di negara ini, satu perkembangan yang disifatkan amat membimbangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, data rasmi menunjukkan majoriti kes melibatkan lelaki khususnya dalam kalangan belia bekerja berusia bawah 40 tahun, sekali gus menafikan persepsi bahawa isu itu hanya menjerat remaja sekolah.
“Selama ini tumpuan intervensi lebih banyak diberikan kepada sekolah. Namun angka sebenar menunjukkan belia bekerja yang majoritinya lelaki, merupakan kelompok paling terjejas.
“Lebih 80 peratus daripada 5,857 kes bunuh diri yang direkodkan melibatkan lelaki, terutama yang bekerja. Ini satu trend yang sangat membimbangkan,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Hannah berkata demikian pada sidang media Persidangan Meja Bulat Belia Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia hari ini.
Hannah turut menegaskan bahawa penggunaan kata-kata berbaur stigma seperti ‘gila’ atau ‘tidak bertanggungjawab’ masih menjadi punca ramai enggan tampil mendapatkan bantuan sekali gus memburukkan risiko.
Menurutnya, data juga menunjukkan warga emas dan kanak-kanak turut terlibat dalam statistik berkenaan, menambahkan lagi kebimbangan mengenai keluasan isu kesihatan mental dalam masyarakat.
Katanya, Selangor merekodkan kes bunuh diri tertinggi, diikuti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang menandakan negeri-negeri berstatus bandar yang berdepan tekanan hidup lebih tinggi.
Bagi menangani masalah itu, kementerian memperkenalkan quick guide sebagai panduan intervensi awal untuk rakan sebaya, rakan sekerja dan ahli keluarga bagi mengenal pasti tanda awal serta membantu individu terjejas sebelum keadaan menjadi kritikal.
Hannah berkata, diagnosis yang tepat amat penting kerana tahap kesihatan mental berbeza daripada isu ringan sehinggalah kecelaruan serius yang masing-masing memerlukan rawatan khusus.
“Terdapat kes di mana individu mengambil masa sehingga setahun sebelum mendapatkan rawatan sesuai. Mereka yang tidak menerima bantuan tepat akhirnya menjadi sebahagian daripada statistik yang kita bimbangkan,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat agar menunjukkan empati lebih tinggi terhadap golongan rentan termasuk belia dan warga yang berdepan tekanan hidup.
“Golongan muda ini sangat rapuh. Kita yang lebih dewasa perlu lebih memahami dan peka terhadap apa yang mereka lalui,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








