BERITA SEMASA

Rombakan Kabinet: Pelantikan Hannah Yeoh tidak pinggir agenda Melayu di Wilayah Persekutuan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam rombakan Kabinet tidak akan menjejaskan agenda Melayu di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan pelantikan Jemaah Menteri, termasuk memastikan kepentingan semua pihak terus terpelihara menerusi keputusan Kabinet.

“Bahagian hal ehwal Wilayah Persekutuan juga diketuai oleh orang Melayu. Jadi agenda untuk orang Melayu di Wilayah Persekutuan tidak harus digusarkan kerana semua ketetapan utama dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan bersama,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan Kerajaan MADANI tidak berasaskan kaum semata-mata, sebaliknya memberi keutamaan kepada prinsip keterangkuman dalam pelaksanaan agenda nasional, termasuk di Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, pelaksanaan projek dan dasar tertentu seperti agenda pembangunan bandar (URA) walaupun berada di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun agensi pelaksanaannya adalah pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam konteks ini, kita perlu melihat pendekatan secara holistik dan tidak menilai berdasarkan latar kaum menteri atau timbalannya,” katanya lagi.

Mengulas prestasi Hannah Yeoh sebelum ini, Ahmad Zahid berkata pengalaman peribadinya mengurus Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan menunjukkan kepimpinan beliau di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak berteraskan petak kaum.

“Saya melihat tiada agenda perkauman dalam KBS di bawah kepimpinan beliau.

“Timbalan menteri pula walaupun berbangsa Cina, mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pertimbangan mereka meliputi seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau yakin agenda nasional tidak akan diketepikan dan memberi jaminan pemantauan berterusan akan dilaksanakan.

“Insya-Allah, saya bersama dua timbalan akan memastikan bukan sahaja pemantauan dibuat, malah agenda nasional pasti dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button