BERITA SEMASA

Ketagihan gajet, perjudian dalam talian belia membimbangkan – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Ketagihan gajet dan peningkatan penglibatan belia dalam aktiviti perjudian dalam talian dikenal pasti antara isu membimbangkan yang sedang dihadapi negara ketika ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurutnya, kementerian mengambil pendekatan sangat berhati-hati dalam mempromosikan sukan elektronik (e-sukan) di sekolah bagi mengelakkan ia menyumbang kepada penagihan gajet dalam kalangan murid.

“Isu ketagihan gajet dan penggunaan berlebihan dalam kalangan murid kekal menjadi kebimbangan kami. Justeru, kawalan dan bimbingan perlu bermula dari rumah oleh ibu bapa agar minat terhadap e-sukan dapat diuruskan secara seimbang.

“Setakat ini, tiada promosi secara aktif dilaksanakan di sekolah sama ada oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) berhubung langkah KBS dalam menangani risiko penipuan dan manipulasi dalam e-sukan serta sama ada kementerian bercadang memperkukuh kuasa undang-undang berkaitan.

Hannah turut mengakui jumlah belia yang terlibat dengan perjudian dalam talian di negara ini berada pada tahap agak tinggi.

“Perjudian haram dalam talian melibatkan belia… yang ini memang tinggi juga. Tapi data saya tidak ada sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, beberapa sesi libat urus bersama KPM menerusi Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian telah diadakan bagi memperkukuh garis panduan penganjuran e-sukan di peringkat sekolah.

“Hasil perbincangan itu, KBS menyediakan kertas cadangan serta draf garis panduan pelaksanaan e-sukan di sekolah.

“Mulai tahun depan, KPM akan menilai dan memberikan sokongan kepada penganjuran e-sukan oleh agensi luar yang melibatkan murid bagi tujuan pengiktirafan markah pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum,” katanya.

Jelas beliau lagi, hanya penganjur yang menggunakan judul permainan diluluskan oleh Jawatankuasa Penilai Judul Permainan akan diberi kelulusan, dengan penglibatan unit psikologi dan kaunseling dari Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan kandungan permainan sesuai serta tidak menjejaskan kesejahteraan murid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button