MPM tidak berhak bertindak sendiri terhadap Liek Hou – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak berhak membuat keputusan secara bersendirian berhubung tindakan tunjuk sebab terhadap jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou.
Beliau berkata, Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN), justeru sebarang keputusan mengenai kedudukan atlet itu bukan di tangan MPM semata-mata.
“Penaja hadir kerana mahu menyokong dan meraikan kejayaan atlet, bukan menaja MPM sahaja.
“Ini bukan cara kita melayan atlet yang telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“Liek Hou merupakan seorang atlet yang rajin dan setiap kali bertanding, beliau membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, semalam.
Mengulas lanjut, Hannah menegaskan bahawa Liek Hou tidak pernah melanggar mana-mana garis disiplin, sebaliknya hanya menuntut apa yang telah dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.
“Ini bukan isu disiplin tetapi berpunca daripada kelewatan MPM sendiri,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan MPM mengadakan sidang media semalam berikutan Liek Hou meluahkan rasa kecewanya di media sosial berhubung ganjaran memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2024 di Paris.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








