BERITA SEMASAPMX

PM gesa rakyat berbelanja secara berhemah susulan ketidaktentuan ekonomi global

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berbelanja secara berhemah dan mengelakkan pembaziran dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup.

Anwar berkata, perkembangan geopolitik semasa termasuk penutupan laluan strategik perdagangan dunia berpotensi meningkatkan kos pengangkutan dan harga barangan di peringkat global.

Menurut beliau, antara yang memberi kesan besar ialah penutupan Selat Hormuz yang menyebabkan ratusan kapal tangki membawa minyak, gas serta barangan keperluan termasuk makanan tersekat di laluan tersebut.

“Apabila Selat Hormuz ditutup, kira-kira 200 kapal tangki minyak, gas serta barang keperluan termasuk makanan dan makanan haiwan untuk kegunaan di sini turut tersekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu dijangka memberi kesan kepada ekonomi dunia, khususnya apabila beberapa negara pengeluar tenaga turut mengumumkan pengurangan pengeluaran.

“Qatar telah mengumumkan akan menghentikan sebahagian besar pengeluaran gas, begitu juga negara-negara lain yang mengeluarkan minyak. Ini semua akan menyebabkan ketegangan dan kesan kepada ekonomi dunia,” katanya.

Menurut Anwar, gangguan laluan perdagangan turut menyebabkan kos pengangkutan meningkat sehingga dua atau tiga kali ganda termasuk bagi laluan penerbangan yang terpaksa mengambil laluan lebih jauh.

“Penerbangan dari Arab Saudi misalnya tidak boleh terus seperti biasa, sebaliknya perlu melalui laluan ke Turkiye dan China sebelum turun ke rantau ini. Ini tentunya meningkatkan kos,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat agar lebih cermat dalam membuat perbelanjaan dan persiapan, khususnya ketika menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Jadi sebab itu kita cermatlah sikit, berhemah dalam berbelanja dan membuat persiapan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan kisah dalam Surah Yusuf mengenai Nabi Yusuf AS yang menasihatkan rakyat Mesir menyimpan hasil ketika zaman mewah sebagai persediaan menghadapi tempoh kemarau.

“Bila keadaan ekonomi kita mewah, kita selalu lupa. Nabi Yusuf mengingatkan bahawa selepas tujuh tahun ekonomi lumayan, akan datang tujuh tahun yang gersang. Itu peringatan supaya kita bersedia,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat mengamalkan budaya berjimat, termasuk mengurangkan pembaziran dalam majlis berbuka puasa atau penyediaan makanan.

“Kuih kalau selalu buat 10 jenis, buatlah empat. Terutama majlis berbuka puasa, kurangkan sedikit,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button