Kemboja mohon Malaysia desak Thailand bebaskan 18 anggota tentera ditahan
PHNOM PENH – Kemboja merayu kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN supaya campur tangan dalam usaha pembebasan 18 anggota tenteranya yang masih ditahan oleh Thailand susulan insiden pertempuran di sempadan kedua-dua negara baru-baru ini.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata berkata, pihak tentera Thailand mengesahkan kesemua anggota tersebut dalam keadaan selamat dan perbincangan diplomatik sedang berlangsung bagi memudahcara proses penghantaran pulang mereka.
“Kami mendesak Thailand mempercepatkan proses pemulangan anggota tentera Kemboja. Pada masa sama, kami mencadangkan agar Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mendesak pembebasan segera mereka,” katanya dalam kenyataan rasmi Kementerian Penerangan Kemboja yang dilaporkan Bernama.
Maly turut menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan Kemboja tidak akan meninggalkan walau seorang anggota pun dalam apa jua situasi.
Permintaan itu dikemukakan beberapa hari menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (General Border Committee – GBC) antara Thailand dan Kemboja yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur minggu depan.
Kedua-dua negara berkongsi sejarah panjang pertikaian sempadan sejauh 817 kilometer, yang sering menjadi titik panas ketegangan ketenteraan.
Ketegangan terkini tercetus pada 28 Mei, susulan pertempuran kecil yang akhirnya memuncak kepada insiden bersenjata pada 24 Julai menyebabkan 20 anggota tentera Kemboja ditahan oleh pihak Thailand.
Bagaimanapun, dua daripada mereka yang cedera telah dibebaskan pada Jumaat lalu.
Susulan rundingan khas yang dihoskan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bermula 28 Julai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








