Sifat hipokrit, kegagalan moral jejas usaha tegakkan keadilan di Gaza
PUTRAJAYA – Sifat hipokrit dan kegagalan moral akan terus menjejaskan usaha menegakkan keadilan serta akauntabiliti, terutamanya dalam menangani isu di Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skala krisis itu menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana masyarakat antarabangsa memahami akar sejarah isu Palestin.
“Maksudnya selepas semua yang berlaku di dunia, anda masih gagal memahami latar sejarah Palestin? Saya tidak percaya,” katanya.
“Kecuali kalau anda mengambil pendirian Zionis fanatik yang sangat kuat atau pendirian perkauman atau antiwarna, apa sahaja. Tetapi tiada sebab atau alasan mengapa seseorang tidak boleh memahami,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika muncul dalam sesi temu bual bersama penyiar awam Turkiye, program One on One TRT World, semasa lawatan beliau ke Turkiye baru-baru ini.
Dengan membuat perbandingan dengan sejarah Eropah sendiri, Anwar mempersoalkan sama ada manusia telah mengambil iktibar daripada kekejaman masa lalu.
“Jadi saya ingat di Jerman, apa jadi pada kemanusiaan kita? Apa jadi pada pengalaman sejarah kita di Jerman? Tidakkah kita belajar apa-apa?,” katanya, sambil menegaskan bahawa pengajaran sejarah seolah-olah diabaikan.
Anwar berkata, situasi di Semenanjung Gaza bukanlah perkembangan baharu, sebaliknya mencerminkan kesinambungan ketidakadilan kolonial.
“Kolonialisme sepatutnya sudah berakhir, selesai dan mati, tetapi kolonialisme masih wujud. Ia berkembang di Palestin di Gaza di depan mata berbilion orang,” katanya sambil menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin telah berlarutan sejak puluhan tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








