BERITA SEMASA

Usul seragamkan agensi kerajaan bagi atasi pertindihan fungsi dibentang ke Jemaah Menteri

PUTRAJAYA – Usul untuk menyeragamkan beberapa agensi kerajaan bagi menangani isu pertindihan fungsi akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan perlu dibawa kepada pengetahuan Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum keputusan mengenainya dibuat.

“Mantan ketua setiausaha perbendaharaan (Datuk Seri) Asri Hamidon, saya tugaskan untuk mengemukakan beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi, yang akan dibawa kepada ketua setiausaha negara.

“…dan saya akan membuat keputusan setelah ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini pagi tadi.

Pada 3 September tahun lalu, Anwar mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi badan berkanun sekali gus disasarkan dapat memberi penjimatan perbelanjaan negara.

Susulan itu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Asri untuk mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan berkuat kuasa 10 Sept tahun lepas.

Sementara itu, Anwar berkata agensi kerajaan tidak lagi dibenarkan mewujudkan anak syarikat tanpa kelulusan peringkat tertinggi kerana wujud syarikat yang mencatatkan kerugian besar.

“Saya telah memberi arahan supaya tidak boleh diwujudkan syarikat di bawah agensi tanpa kelulusan peringkat tertinggi kerana ribuan syarikat itu mencatat kerugian besar.

“Membatalkan syarikat-syarikat tersebut bukanlah perkara yang mudah. Tetapi jika itu wajib dilakukan, kita harus melakukannya, dan ini adalah sebahagian daripada proses reformasi institusi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button