BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Mesyuarat GBC Thailand-Kemboja perkukuh peranan ATM sebagai pemudah cara serantau

KUALA LUMPUR – Hubungan dua hala antara Thailand dan Kemboja terus diperhalusi menerusi penganjuran Mesyuarat General Border Committee (GBC) yang dianjurkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula hari ini hingga 7 Ogos di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur.

Penganjuran mesyuarat itu sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam usaha menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar

Ia juga merupakan lanjutan daripada persetujuan yang dicapai semasa pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Kemboja dan Pemangku Perdana Menteri Thailand di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 28 Julai lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, delegasi sekretariat GBC dari Thailand dan Kemboja tiba di negara ini pada 3 Ogos dan sesi mesyuarat peringkat sekretariat berlangsung selama tiga hari bagi menyelaras pengurusan serta memuktamadkan agenda perbincangan dua hala.

“Antara agenda utama ialah perbincangan mengenai Terms of Reference (TOR) penubuhan ASEAN Monitoring Team serta hal-hal berkaitan kerjasama keselamatan sempadan antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meluangkan masa mengadakan sesi perjumpaan bersama Ketua Sekretariat dari kedua-dua negara bagi menekankan kepentingan mesyuarat itu dalam menjamin hubungan diplomatik yang lebih kukuh.

Ketua Delegasi Sekretariat Thailand diketuai Leftenan Jeneral Nuttapong Praokaew, manakala Kemboja diketuai Mejar Jeneral Sin Sokha.

ATM bertindak sebagai pemudah cara sepanjang mesyuarat sekretariat, diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin bersama Brigedier Jeneral Datuk Mohd Rafi Muhammad.

ATM dalam kenyataannya berkata, penganjuran mesyuarat GBC ini membuktikan keyakinan negara jiran terhadap keupayaan Malaysia sebagai fasilitator yang profesional, neutral dan berkesan dalam aspek diplomasi ketenteraan.

“Ini sekaligus mengukuhkan peranan ATM dalam memastikan kestabilan dan keamanan di rantau Asia Tenggara sentiasa terpelihara,” katanya lagi.

Mesyuarat kemuncak GBC Thailand-Kemboja akan berlangsung pada 7 Ogos dengan penglibatan Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha; Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit; serta Panglima Angkatan Tentera dari kedua-dua negara.

Wakil dari Malaysia, Amerika Syarikat dan China turut dijemput hadir sebagai pemerhati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button