JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas pelajar universiti terlepas tali gantung

Hukuman diganti kepada penjara 40 tahun, 12 sebatan

PUTRAJAYA – Seorang bekas penuntut universiti hari ini terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati terhadapnya kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh serta membakar kekasihnya yang sedang hamil, tiga tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mei 2023.

“Mengambil kira umur muda perayu sewaktu kejadian, terdapat pilihan dalam Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, jadi mahkamah dengan ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap dan 12 kali sebatan,” kata hakim.

Terdahulu, peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh berhujah bahawa hukuman gantung yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang adalah terlalu berat memandangkan anak guamnya baru berusia 20 tahun empat bulan ketika kejadian berlaku.

“Mahkamah Tinggi sudah menjatuhkan hukuman gantung sehingga mati selepas perayu membuat pengakuan bersalah, sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berhujah hukuman diputuskan Mahkamah Tinggi adalah setimpal dengan kekejaman jenayah dilakukan.

Mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan sama ada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun bagi kesalahan membunuh.

Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun turut berdepan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan.

Pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muhammad Fakrul Aiman selepas dia mengaku bersalah membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil, Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Sabak Bernam pada 2023.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button