BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tiga lelaki edar 1.4 tan dadah dihukum gantung

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tiga lelaki yang didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine lebih satu tan, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga tertuduh di akhir kes pembelaan.

“Dalam menentukan hukuman ke atas semua tertuduh, mahkamah ini menimbangkan jumlah berat dadah berbahaya yang terbabit ialah 1,483,962.98 gram, selain cara dadah berbahaya diletak dalam peket ‘Guanyinwang’ dan dimasukkan dalam guni dan dijahit dengan tali rafia.

“Guni dadah disimpan dalam kontena di kawasan kolam ikan yang terbiar dan jauh dari jalan utama. Tindakan ini dilakukan untuk mengelirukan pihak berkuasa daripada mengesan aktiviti pengedaran dadah berbahaya.

“Berdasarkan alasan di atas, mahkamah ini menjatuhi hukuman gantung di leher sehingga mati atas semua tertuduh pada tarikh, masa dan tempat yang ditentukan kelak,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Pang Ming Siong, 54; Cheng Foot Leong, 46 dan Tok Chun Wei, 41, didakwa mengedar lebih 1,483,962.68 gram (1,483.96 kilogram) methamphetamine di sebuah kolam ikan di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, 19 Mac 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam hujahan pemberatan, Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh memaklumkan kes berkenaan adalah amat jarang berlaku kerana membabitkan jumlah dadah yang besar.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhammad Abd Kadir dan Khairul Nadia Hasni.

Pada 22 Mac 2019, media melaporkan sebanyak 2.06 tan syabu yang dianggar bernilai RM103.2 juta menjadi rampasan yang terbesar dalam sejarah negara ketika itu.

Syabu yang dibungkus dalam 2,000 paket bungkusan teh Cina itu ditemui dalam kontena yang disimpan di kawasan kolam ternakan ikan dekat ladang kelapa sawit, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini.

Rampasan itu hasil kejayaan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Johor selain kerjasama daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Pada 31 Mac 2019, ketiga-tiga lelaki itu dituduh di Mahkamah Majistret di sini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button