LUAR NEGARA

Kucing diguna sebagai pencetus kebakaran hutan di Itali?

ROME – Pihak berkuasa Itali sedang menyiasat spekulasi luar biasa yang mendakwa sekumpulan kucing hidup digunakan untuk mencetuskan kebakaran hutan di wilayah Calabria di selatan negara itu.

Menurut laporan media tempatan, siasatan dijalankan susulan maklumat yang diterima Jabatan Perlindungan Awam Calabria berhubung beberapa kejadian kebakaran hutan yang melanda kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.

“Penyiasat sedang meneliti dakwaan bahawa kain yang direndam dengan cecair mudah terbakar diikat pada ekor kucing sebelum haiwan itu dilepaskan bagi menyebarkan api ke beberapa lokasi.

“Selain itu, beberapa alat pencetus api dengan sistem kelewatan (delayed ignition devices) turut dilaporkan ditemui di kawasan yang terjejas,” lapor agensi berita Anadolu.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih belum disahkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan kesahihannya.

Susulan itu, dua pertubuhan kebajikan haiwan, LNDC Animal Protection dan International Organization for Animal Protection (OIPA), telah membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa bagi menggesa siasatan menyeluruh dilakukan serta individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Presiden LNDC Animal Protection, Piera Rosati berkata, jika dakwaan itu terbukti benar, ia bukan sahaja merupakan jenayah alam sekitar yang serius malah antara kes penderaan haiwan paling kejam pernah direkodkan.

Sementara itu, Presiden OIPA Itali, Massimo Comparotto, menyifatkan tindakan menggunakan haiwan untuk mencetuskan kebakaran sebagai satu jenayah berat yang langsung tidak boleh diterima.

“Perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan haiwan terbabit mati dalam keadaan menyeksakan, malah mengancam keselamatan orang ramai, kediaman penduduk, kawasan hutan dan keseluruhan ekosistem,” katanya.

Kedua-dua pertubuhan berkenaan turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak berkuasa.

Setiap tahun, kebakaran hutan memusnahkan ribuan hektar kawasan hutan dan tumbuh-tumbuhan Mediterranean di Itali, selain mengorbankan hidupan liar serta memusnahkan habitat, sumber makanan dan bekalan air haiwan yang terselamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button