Hamzah Zainudin buat ‘move’, jumpa 2/3 wakil rakyat dan ketua bahagian BERSATU
KUALA LUMPUR – Sehari selepas pemecatannya sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin dijadual mengadakan satu taklimat khas bertajuk Halatuju & Reset Politik yang akan menghimpunkan sebahagian besar kepimpinan utama parti itu.
Dalam jemputan yang diedarkan kepada rakan-rakan media, sesi tersebut akan dihadiri oleh tiga perempat Ahli Parlimen, dua pertiga Ketua-Ketua Bahagian serta majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU.
Program itu dijadualkan berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada pukul 2 petang ini.
Langkah itu dilihat signifikan susulan keputusan kepimpinan tertinggi parti semalam yang memecat Hamzah daripada jawatan Timbalan Presiden sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli dan penyokong.
BACA JUGA:
17 Ketua Bahagian BERSATU Johor desak Hamzah dipecat tanpa kompromi
Semalam, kepimpinan tertinggi BERSATU mengumumkan pemecatan Hamzah daripada jawatan Timbalan Presiden serta 16 pemimpin BERSATU yang lain berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat atas alasan pelanggaran disiplin parti dan didakwa berkait dengan pendirian serta tindakan politik beliau kebelakangan ini yang dianggap tidak selari dengan ketetapan pucuk pimpinan.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebelum ini merupakan antara tokoh kanan parti dan pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan Persekutuan. Pemecatan beliau dilihat sebagai perkembangan besar dalam landskap dalaman BERSATU, lebih-lebih lagi menjelang dinamika politik semasa yang semakin mencabar.
Penganjuran taklimat tersebut bersama majoriti wakil rakyat dan ketua bahagian memberi gambaran bahawa Hamzah masih mempunyai sokongan signifikan dalam kalangan kepimpinan akar umbi dan wakil rakyat parti.
Istilah ‘reset politik’ yang digunakan dalam tajuk taklimat itu turut mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan penyusunan semula strategi politik, pendirian blok pembangkang, atau langkah baharu yang bakal diumumkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















