17 Ketua Bahagian BERSATU Johor desak Hamzah dipecat tanpa kompromi
JOHOR BAHRU – Seramai 17 ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor mendesak kepimpinan tertinggi parti itu memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin tanpa sebarang kompromi susulan dakwaan salah laku kepimpinan dan pelanggaran perlembagaan parti.
Desakan tersebut dizahirkan menerusi satu memorandum yang diserahkan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Menurut memorandum berkenaan, tindakan tegas perlu diambil oleh Lembaga Disiplin dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti demi memelihara integriti serta kredibiliti kepimpinan.
“Desakan ini dibuat bukan atas sentimen atau perbezaan pandangan politik, tetapi berasaskan salah laku kepimpinan berat, pelanggaran Perlembagaan Parti secara sistematik, kegagalan moral serta hilangnya kelayakan untuk terus memegang apa-apa jawatan atau keanggotaan dalam Bersatu,” menurut memorandum itu.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dijadualkan berdepan Lembaga Disiplin hari ini, namun tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.
Bagaimanapun, prosiding yang dijadualkan tetap diteruskan.
Sebelum ini, beberapa pemimpin BERSATU Negeri Sembilan turut menggesa agar tindakan pemecatan dikenakan terhadap beliau.
Dalam memorandum sama, BERSATU Johor turut mendesak Lembaga Disiplin menjalankan prosiding segera dan menjatuhkan hukuman pemecatan atas dakwaan salah laku disiplin berat serta pelanggaran amanah kepimpinan.
Selain itu, MPT juga digesa melaksanakan kuasa perlembagaan parti untuk memecat Hamzah daripada jawatan Timbalan Presiden serta menamatkan keanggotaannya dalam BERSATU tanpa sebarang kompromi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















