POLITIK

‘Muhyiddin tidak lagi relevan’ – Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah “tidak lagi relevan”.

Beliau mendakwa, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), telah hilang hubungan dengan akar umbi dan menunjukkan prestasi pilihan raya yang semakin merosot.

Katanya, perkara itu berpunca daripada sentimen di peringkat akar umbi semasa pilihan raya negeri di Melaka pada 2021 dan Johor pada tahun berikutnya, di mana BERSATU mengalami kekalahan besar di bawah kepimpinan Muhyiddin.

“Saya yang berkata dalam mesyuarat ARMADA (Pemuda BERSATU) bahawa Abah (Muhyiddin) sudah tidak relevan lagi.

“Saya cakap dalam mesyuarat, bukan di khalayak. Saya turun padang, saya berbual dengan pengundi, dan mereka sendiri yang kata begitu.

“Kempen terlalu tertumpu kepada individu dan bukan kepada isu. Ia tidak menjadi,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini, lapor NST.

Beliau turut mendakwa, masalah dalaman BERSATU bertambah buruk kerana Muhyiddin enggan mendengar pandangan berbeza dalam parti dan hanya bergantung kepada sekumpulan kecil penasihat.

“Presiden hanya dengar orang yang sama iaitu Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), yang mana kedua-duanya yang kalah dalam pilihan raya.

“Kami yang menang dan bekerjasama rapat dengan PAS pula diketepikan.”

Wan Fayhsal turut mengkritik keputusan menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional dan menyifatkannya sebagai kesilapan besar yang menimbulkan kemarahan sekutu parti dan berpotensi menyinggung pihak istana.

Wan Fayhsal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, sebelum ini dikenakan tindakan disiplin dengan digantung selama setahun.

Ketika diminta mengulas mengenai penggantungan tersebut, Wan Fayhsal menegaskan beliau akan terus bersuara untuk “menyelamatkan parti” sambil menolak dakwaan beliau dan ahli lain merancang untuk keluar daripada parti.

“Kami tidak buat apa-apa kesalahan. Kami berjuang untuk memperbaiki Bersatu. Tiada siapa lebih besar daripada parti, termasuk presiden,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button