Semua pemimpin boleh dijatuhkan jika amalan kutip tandatangan diteruskan – Muhyiddin
SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan keras bahawa semua pemimpin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berisiko dijatuhkan sekiranya wujud amalan mengumpul tandatangan untuk menyingkirkan kepimpinan.
Presiden BERSATU itu mendedahkan adanya konspirasi mengutip tandatangan bagi menjatuhkan beliau daripada jawatan tertinggi parti, sambil menegaskan tindakan berkenaan jelas bercanggah dengan Perlembagaan.
“Jika Presiden boleh dijatuhkan melalui kutipan tandatangan, semua di atas pentas ini (Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU) pun boleh dijatuhkan dengan cara sama.
“Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Srikandi Muda, Ketua Bersekutu dan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian juga boleh menerima nasib serupa,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung BERSATU di sini, malam ini.
Muhyiddin menegaskan bahawa parti hanya dapat kekal tertib, elok, rukun dan damai sekiranya semua ahli mematuhi Perlembagaan serta peraturan yang telah digariskan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengingatkan ahli parti agar tidak mengamalkan sikap adu domba atau bersengketa sesama sendiri, sebaliknya bersatu hati demi kelangsungan perjuangan.
“Sedarlah saudara-saudari… berdasarkan sentimen rakyat, BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) sedang berada di kedudukan terbaik untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 serta membentuk kerajaan,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








