Commerze Capital salur pembiayaan lebih RM800 juta kepada PKS
KUALA LUMPUR – Commerze Capital Sdn Bhd (CCSB) menyalurkan pembiayaan melebihi RM800 juta kepada lebih 800 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak 2007 bagi membantu menangani kekangan aliran tunai, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CCSB, Shahrom Latif berkata, lebih 70 peratus pelanggan syarikat itu terdiri daripada perniagaan yang sukar mendapatkan pembiayaan melalui saluran perbankan konvensional.
“Masalah aliran tunai antara cabaran utama PKS, terutama apabila syarikat perlu menunggu antara 30 hingga 90 hari untuk menerima bayaran bagi kontrak yang diperoleh daripada agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Keadaan itu boleh menjejaskan modal pusingan serta keupayaan usahawan memenuhi komitmen operasi dan menyiapkan projek mengikut jadual,” katanya.
Justeru, bagi menangani cabaran berkenaan, CCSB menawarkan dua kemudahan pembiayaan patuh Syariah berkonsepkan Tawarruq iaitu Commerze Supply Contract Financing-Islamic (CSCF-i) dan Commerze Factor-Islamic (CF-i).

Shahrom berkata, CSCF-i merupakan kemudahan pembiayaan pra-pemfaktoran yang menyediakan modal pusingan pada peringkat awal selepas kontrak dianugerahkan.
“Antara inisiatif berkaitan ialah kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) bagi menyediakan kemudahan modal pusingan sehingga RM10 juta kepada vendor di bawah inisiatif TM PERINTIS.
“Selain itu, CCSB turut membangunkan platform digital automatik bagi memendekkan proses permohonan dan kelulusan pembiayaan berkenaan,” jelasnya.
Tambah beliau, CF-i menawarkan kemudahan pemfaktoran invois bagi membantu usahawan mendapatkan tunai lebih awal tanpa perlu menunggu pembayaran invois tertunggak.
Melalui kemudahan itu, kelayakan pembiayaan dinilai berdasarkan kredibiliti pihak yang menganugerahkan kontrak, sekali gus memberi pilihan kepada usahawan yang tidak mempunyai aset untuk dijadikan cagaran.
Ujar Shahrom, CCSB turut disokong kelulusan Kementerian Kewangan sebagai institusi mesra ePerolehan yang membolehkan integrasi dengan sistem perolehan kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat itu juga memperkenalkan dana khas RM50 juta bagi menyokong transformasi digital dalam kalangan PKS Bumiputera.
“Langkah ini bertujuan memperluas akses pembiayaan kepada usahawan yang memerlukan modal bagi meningkatkan keupayaan operasi dan menyertai projek berskala lebih besar,” katanya.
Menurut beliau lagi, hanya 38 peratus PKS Bumiputera menggunakan instrumen pengurusan aliran tunai berbanding 55 peratus bagi perniagaan lain.
“Situasi ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk meningkatkan penggunaan kemudahan pembiayaan dalam kalangan usahawan Bumiputera,” katanya.
Bagi usahawan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kemudahan CSCF-i dan CF-i, boleh melayari laman web rasmi syarikat di commerzecapital.com.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








