JENAYAH & MAHKAMAH

Pandu lawan arus, lelaki positif dadah dicekup polis

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki memandu kereta secara melawan arus di Jalan Hang Tuah di sini akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis selepas video kejadian itu tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan lalu lintas tersebut.

Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin.

“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1985 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan akan direman esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus ketika keadaan trafik agak sibuk, sekali gus mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

Dalam rakaman tersebut, beberapa kenderaan dilihat terpaksa memperlahankan kelajuan dan memberi laluan bagi mengelakkan pertembungan dengan kereta berkenaan.

Pemandu itu kemudian dilihat membelok secara mengejut ke laluan bertentangan, tindakan yang turut mencetuskan kebimbangan orang ramai kerana berpotensi membahayakan pengguna jalan raya lain.

Polis mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak melakukan tindakan yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri serta orang awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button