HIBURAN

Biduanita Negara kemalangan di Lebuhraya MEX, alami kecederaan ringan di kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dikejarkan ke hospital selepas mengalami lebam dan bengkak pada kaki apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14.2 Lebuhraya Maju (MEX) dekat Seri Kembangan, di sini hari ini.

Kejadian berlaku ketika penyanyi itu dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas mengadakan persembahan di RedQ AirAsia, Sepang.

Pengurusnya, Rozi Abdul Razak menerusi hantaran di Threads memaklumkan, Siti Nurhaliza berada dalam keadaan baik dan berterima kasih atas doa orang ramai.

“Salam semua. Ramai yang menghubungi kami bertanyakan tentang @ctdk. Kami 2 kereta baru selesai mengadakan persembahan di RedQ AirAsia Sepang dan sewaktu melalui Lebuhraya MEX (KM14.2), berlaku kemalangan.

“Empat kereta terlibat termasuk kereta dinaiki @ctdk dan kereta dinaiki saya serta @cteafairuz berada berjarak beberapa kereta di belakang.

“Kami membawa @ctdk keluar dari kereta yang kemalangan dan masuk ke dalam kereta kami.

“@ctdk telah ke hospital, mengalami lebam/bengkak bahagian kaki. Alhamdulillah, segalanya selamat dan terima kasih di atas semua,” kongsinya.

Hantaran itu dibuat susulan netizen berkongsi gambar penyanyi nombor satu negara itu berdiri di tepi lebuh raya tersebut berhampiran kereta yang terlibat kemalangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button