Sembilan rakyat Malaysia dalam Freedom Flotilla tiba di KLIA 5 petang esok
KUALA LUMPUR – Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza kini dalam perjalanan pulang ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sekitar jam 5 petang ini.
Menurut kenyataan Sumud Nusantara Official, kesemua aktivis berkenaan berdepan detik mencabar ketika ditahan rejim Zionis sepanjang pelayaran misi bantuan ke Gaza baru-baru ini.
“Kesemua aktivis telah dibebaskan hasil usaha diplomatik berterusan serta kerjasama erat antara kerajaan Malaysia, Kementerian Luar (Wisma Putra), Kedutaan Malaysia di Turkiye dan sokongan padu daripada kerajaan Turkiye,” jelas kenyataan itu.
Sambutan rasmi kepulangan mereka akan diadakan di KLIA petang esok dan orang ramai dijemput hadir sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan mereka membawa suara kemanusiaan rakyat Malaysia untuk Gaza.
Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan semua sembilan aktivis terbabit telah dibebaskan dan berlepas dari Israel menerusi penerbangan Turkish Airlines TK6921.
Pesawat itu mendarat di Istanbul pada jam 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) sebelum mereka dijadualkan meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan sembilan kapal yang menyertai misi FFC-TMTG telah ditunda oleh tentera Israel, dengan semua aktivis di atas kapal termasuk sembilan rakyat Malaysia yang dibawa ke Penjara Ketziot di Negev, Israel, sebelum dibebaskan susulan tekanan diplomatik dan kecaman antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








