BERITA SEMASA

Maritim Malaysia, United States Coast Guard anjur latihan bersama

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan United States Coast Guard (USCG) Cutter Munro kini menjalani latihan bersama di perairan Laut China Selatan dalam usaha mengeratkan jalinan kerjasama kedua-dua agensi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, latihan yang bermula pada 26 hingga 29 Ogos itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kedua-dua negara dalam pelbagai aspek penguatkuasaan maritim dan keselamatan laut di rantau ini.

“Kerjasama antara Maritim Malaysia dan USCG adalah satu langkah proaktif dalam meningkatkan keselamatan dan keamanan perairan. Latihan ini adalah contoh kerjasama erat dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para pegawai dari kedua-dua agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Manu Bhalla berkata, lawatan oleh Munro adalah sebahagian daripada perkongsian AS dengan Malaysia mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kami harap jalinan kerjasama ini akan membawa kesedaran domain maritim, latihan bersama, memerangi penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal, serta usaha penguatkuasaan undang-undang yang lain,” katanya.

Sementara itu, pegawai memerintah USCGC Munro Kapten Rula F. Deisher berkata, pihaknya gembira dengan peluang dan kerjasama dengan Malaysia selaku rakan maritim dan berharap meningkatkan kerjasama antara dua pihak.

Antara aktiviti dan latihan yang dilaksanakan adalah latihan penggeledahan (interdiction) dan Damage Control Fire Fighting (DCFF).

Selain itu, Maritim Malaysia juga dijemput untuk membuat lawatan di atas kapal USCGC Munro bagi melihat sendiri keupayaan serta kelengkapan kapal tersebut.

Ianya bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pegawai dan anggota yang terlibat terhadap aspek kesiapsiagaan dan operasi penguatkuasaan maritim.

Dalam pada itu, dua pegawai Maritim Malaysia diberi peluang untuk menyertai “On-board Training” bersama UCSGC Munro yang memberi pendedahan ilmu kelautan dan navigasi yang lebih mendalam.

Terdahulu, Aminuddin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan aktiviti itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button