Kerajaan peruntuk RM14.7 juta untuk bantuan bencana kepada Selangor
PUTRAJAYA – Sejumlah RM14.7 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Kerajaan Selangor bagi bantuan bencana untuk tahun ini.
Menurut Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, bantuan itu merangkumi pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana dan BWI Kematian sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.
Jelas beliau, bantuan itu turut disediakan bagi membantu KIR mangsa bencana yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya minggu lepas.
“Pejabat Daerah dan Tanah Petaling selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan mengagihkan bantuan berdasarkan senarai nama KIR mangsa bencana yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Khairul Shahril, setiap rumah yang terkesan akibat bencana itu juga turut menerima bantuan tunai berjumlah RM10,000 yang disalurkan kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya, iaitu RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM5,000 daripada Petronas.
“Pemilik yang rumahnya separa musnah menerima sumbangan sebanyak RM5,000, iaitu RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM2,500 daripada Petronas,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Selangor turut bersetuju memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan untuk menyewa rumah sementara kediaman mereka diperbaiki ataupun dibina semula.
“Bagi melicinkan proses pengagihan bantuan, semua sumbangan hendaklah disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor,” ujarnya.
Kebakaran saluran gas Petronas pada Selasa minggu lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









2 Comments