BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tiada unsur sabotaj, khianat ditemui dalam insiden kebakaran paip gas Putra Heights – KP Selangor

SHAH ALAM – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj, khianat mahupun kecuaian dikenal pasti sebagai punca insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, penemuan itu adalah hasil siasatan terperinci yang dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan meliputi pelbagai aspek.

Menurut beliau, siasatan menyeluruh telah dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan dan Pengurusan Persekitaran (JPPP), Petronas, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta beberapa pihak teknikal bebas.

“Proses siasatan juga melibatkan pemprosesan tempat kejadian bagi pengumpulan bahan bukti.

“Polis juga telah merakam percakapan daripada 212 orang saksi termasuk mangsa, kakitangan agensi kerajaan, kontraktor, saksi bebas, serta pakar-pakar teknikal dan saksi daripada media sosial,” katanya.

Baca juga : Kerajaan peruntuk RM14.7 juta untuk bantuan bencana kepada Selangor

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan yang merangkumi dua aspek utama iaitu khianat dan kecuaian dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan khianat menggunakan api atau bahan letupan.

Selain itu, siasatan turut meliputi Seksyen 285 dan 286 Kanun Keseksaan berkaitan kelakuan cuai melibatkan api atau bahan letupan yang boleh menyebabkan bencana atau kecederaan.

“Daripada siasatan, kita dapati kerja-kerja pembinaan termasuk penggantian paip pembetungan di lokasi kejadian telah dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi teknikal.

“Ia (kerja pembinaan) juga berada dalam zon penampan sejauh 40 meter dari saluran paip gas utama milik Petronas,” katanya.

Tambah Hussein, kedudukan fizikal paip gas Petronas berada pada kedalaman 5.6 meter dari paras jalan, manakala paip pembetungan yang digantikan pula berada sejauh 3.5 meter dari paip gas tersebut.

Hussein berkata, kerja-kerja pengorekan tanah bagi penggantian paip kumbahan yang dijalankan oleh kontraktor tidak mengganggu paip gas Petronas secara langsung.

Jelas beliau, ia kerana paip gas Petronas terletak pada kedalaman 5.6 meter dari paras jalan dan pada jarak 3.5 meter dari paip kumbahan tersebut.

Beliau berkata, kerja-kerja penggantian paip telah selesai sepenuhnya pada 30 Mac lalu, dan tiada sebarang kerja pembinaan dijalankan semasa kejadian berlaku.

Dalam pada itu, siasatan turut mendapati tiada bacaan tekanan luar biasa dalam sistem pemantauan Petronas sebelum kejadian.

“Bacaan tekanan gas berada dalam keadaan normal dan hanya menunjukkan penurunan secara mendadak sewaktu letupan berlaku.

“Kesimpulannya, berdasarkan siasatan menyeluruh di lokasi kejadian, termasuk bukti fizikal, teknikal dan keterangan saksi, pihak polis tidak menemui sebarang elemen sabotaj, khianat atau kecuaian yang dikenal pasti sebagai punca insiden letupan tersebut,” jelas beliau.

Sementara itu, Hussein berkata, pihak polis akan terus memantau dan bekerjasama dengan semua pihak berkenaan untuk meneliti sebarang perkembangan baharu, sekiranya ada maklumat tambahan yang timbul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button