BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan Selangor tubuh jawatankuasa khas susulan laporan kebakaran paip gas Putra Heights

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencadangkan langkah-langkah susulan yang perlu diambil ekoran insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jawatankuasa yang disokong oleh Petronas serta agensi berkaitan itu akan meneliti pelbagai perkara, termasuk aspek perundangan yang bakal diambil selepas ini.

“Undang-undang yang saya maksudkan adalah peraturan-peraturan yang boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan negeri supaya kita boleh merangka satu langkah pencegahan bagi memastikan peristiwa tidak berulang.

“Ini adalah langkah susulan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri yang kita namakan sebagai jawatankuasa khas yang akan menilai laporan-laporan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.

Baca juga : Tiada unsur sabotaj, khianat ditemui dalam insiden letupan paip gas Putra Heights – KP Selangor

Baca juga : Punca paip gas patah di Putra Heights akibat bebanan berterusan dalam tanah – JKKP

Dalam sidang media sama, Husdin memaklumkan kebocoran dan kebakaran paip gas Putra Heights Subang Jaya pada 1 April lalu berpunca daripada bebanan berterusan dalam tanah.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur berlaku apabila bahagian bawah paip tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.

Pada masa yang sama, Hussein mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj, khianat mahupun kecuaian dikenal pasti sebagai punca insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, kerajaan negeri akan turut meneliti peranan kerajaan Persekutuan serta agensi penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara, termasuk hak masyarakat untuk mengetahui secara telus punca dan tindakan selepas tragedi ini.

Tegas beliau, tumpuan ketika kini adalah mengambil langkah proaktif dan bersifat pencegahan terhadap insiden berisiko tinggi seperti ini, sekali gus menjamin keselamatan awam dan infrastruktur negeri untuk jangka masa panjang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button