BERITA SEMASADALAM NEGERI

Punca paip gas patah di Putra Heights akibat bebanan berterusan dalam tanah – JKKP

SHAH ALAM – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hari ini mengesahkan punca utama insiden paip gas patah di Putra Heights adalah disebabkan oleh bebanan berterusan dalam tanah.

Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat hasil analisis teknikal yang dijalankan, pemerhatian mendapati wujud garisan tekanan (stress lines) yang terbentuk pada hujung kawasan paip yang patah.

Beliau berkata, corak tekanan tersebut jelas menunjukkan kesan bebanan berpanjangan yang berlaku sejak sekian lama, sekali gus menolak kemungkinan insiden itu berlaku secara mendadak atau disebabkan oleh faktor jangka pendek.

“Hasil siasatan secara umumnya paip gas patah pada kimpalan akibat beban secara berlebihan yang mengkibatkan pembentukan tarikan.

“Faktor lain yang menyumbang adalah tanah longgar dan lembut yang menyebabkan ada pergerakan paip bawa tanah dan pergerakan paip ini adalah pergerakan yang ketara yang menyebakan paip itu patah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.

Baca juga : Tiada unsur sabotaj, khianat ditemui dalam insiden letupan paip gas Putra Heights – KP Selangor

Pada masa yang sama, Hussein mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj, khianat mahupun kecuaian dikenal pasti sebagai punca insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan terperinci itu dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan meliputi pelbagai aspek.

“Berdasarkan siasatan menyeluruh di lokasi kejadian, termasuk bukti fizikal, teknikal dan keterangan saksi, pihak polis tidak menemui sebarang elemen sabotaj, khianat atau kecuaian yang dikenal pasti sebagai punca insiden letupan tersebut,” jelas beliau.

Sementara itu, Amirudin turut memaklumkan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mencadangkan langkah-langkah susulan yang perlu diambil susulan insiden kebakaran tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button