Selangor terus terajui agenda pemerkasaan OKU
SELAYANG – Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri perintis dalam agenda pemerkasaan orang kurang upaya (OKU) apabila terus menerajui pembangunan dasar dan program inklusif yang menyeluruh.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, pendekatan terhadap golongan itu melangkaui kebajikan semata-mata kepada pemerkasaan berasaskan hak, peluang dan keadilan sosial.
Beliau berkata, komitmen berterusan kerajaan negeri itu terbukti menerusi pelaksanaan pelbagai dasar, modul serta program komprehensif bagi memastikan komuniti OKU tidak tercicir dalam arus pembangunan negeri.
“Selangor merupakan negeri pertama di Malaysia yang menerbitkan dokumen dasar dan modul panduan berkaitan pemberdayaan OKU, termasuk beberapa modul baharu yang dilancarkan sempena Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025.
“Walaupun hal ehwal OKU berada di bawah Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan yang menghadkan peranan negeri, cabaran itu tidak pernah menjadi penghalang untuk Selangor terus berinovasi dan mendahului negeri lain dalam penyampaian perkhidmatan,”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Selayang, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan dengan pelancaran rasmi Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 yang membawa tema ‘Menyinari Harapan Insan Istimewa’.
Beliau berkata, kejayaan agenda OKU di Selangor adalah hasil kesinambungan dasar dan komitmen pentadbiran terdahulu, termasuk penubuhan Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) pada 2018 yang menjadi platform penyelarasan dasar dan program berkaitan.
Mengulas lanjut, Anfaal memaklumkan pelancaran Program Inklusif Inovasi MTOS 2026 (MTOS-SIP 2026) baru-baru ini bertujuan memperkasa dasar OKU melalui pendekatan inovatif, selain menyediakan platform pembentangan idea kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademik dan konsultan dalam bidang berkaitan.
Beliau menegaskan, inklusi OKU perlu dilihat sebagai isu hak asasi manusia, penyertaan ekonomi dan keadilan sosial, bukan sekadar kebajikan.
“Apabila sistem pendidikan tidak inklusif, bakat akan hilang. Apabila peluang pekerjaan tidak adil, potensi terbiar. Dan apabila akses fizikal serta digital diabaikan, kita sebenarnya membina jurang, bukan kemajuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil agar mengarusperdanakan inklusi OKU dalam setiap dasar dan program, memastikan akses dibina sejak peringkat perancangan serta melibatkan OKU sebagai pembuat keputusan.
Dalam pada itu, Anfaal menyeru para pendidik supaya terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan bagi memastikan pendidikan khas yang lebih berkesan.
Beliau turut menggesa ibu bapa dan penjaga agar mendapatkan sokongan berterusan daripada tenaga profesional demi menjamin masa depan anak-anak istimewa.
“OKU bukan kelemahan. Halangan sebenar adalah sistem yang gagal memahami kepelbagaian manusia. Dunia yang inklusif adalah dunia yang lebih kuat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








