BERITA SEMASA

Kejayaan, kecekalan sebagai usahawan angkat Nurulhidayah sebagai Wanita Ikon Negeri Selangor 2026/2027

SHAH ALAM – Kejayaan dan kecekalan Datin Seri Nurulhidayah Ahmad Zahid membina jenama serta memperkasa pembangunan bakat dalam bidang keusahawanan melayakkan beliau dinobatkan sebagai Anugerah Wanita Ikon Negeri Selangor 2026/2027 pada Majlis Hi-Tea Pengumuman dan Apresiasi Wanita Ikon Selangor di LADO By The Lake, di sini, semalam.

Pengiktirafan itu diberikan selepas Nurulhidayah melalui proses penilaian yang ketat bersama calon-calon lain, sekali gus mengiktiraf sumbangan beliau dalam pembangunan usahawan, kepimpinan serta impak kepada masyarakat.

Turut menerima pengiktirafan utama ialah Dr Reynu Rajan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon WAJA Negeri Selangor 2026/2027, manakala Anugerah Wanita Ikon Muda Negeri Selangor 2026/2027 dimenangi Nur Hazreen Mohd Ramzi.

wanita
Barisan penerima anugerah Wanita Ikon Selangor 2026/2027.

Majlis anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) Selangor itu disempurnakan oleh Datin Seri Masdiana Mohamad menerusi gimik perasmian yang turut menandakan pelantikan barisan Wanita Ikon Selangor sebagai duta inspirasi serta kepimpinan wanita negeri.

Penganjuran tahun ini menyaksikan format pemilihan yang lebih eksklusif dan kompetitif apabila seramai 19 calon akhir daripada pelbagai latar belakang profesional, keusahawanan, pembangunan komuniti dan kepimpinan melalui proses saringan sebelum dipilih ke peringkat akhir.

Sebagai pengiktirafan awal terhadap kecemerlangan peserta, KWIM Selangor memperkenalkan Anugerah Bintang Selangor yang mengiktiraf lima tokoh wanita cemerlang mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Nurulhidayah terlebih dahulu menerima Anugerah Bintang Pembangunan Bakat, manakala penerima lain ialah Dr. Nurhidayah Roslan (Bintang Inovasi), Nadira Mohd Yusoff (Bintang Impak Sosial), Zuria Abdullah (Bintang Perdagangan Global) dan Norfazlina Mohd Faozi (Bintang Pembangunan Jenama).

Bagi kategori Anugerah Bintang Harapan, penerimanya ialah Umirah Mohd Taib (Bintang Harapan Pemerkasaan Keluarga), Tengku Norhanim Tengku Othman (Bintang Harapan Penjenamaan Global) dan Nur Hazreen Mohd Ramzi (Bintang Harapan Pembangunan Industri).

Kesemua penerima kemudian mara ke sesi penilaian akhir menerusi temu bual secara langsung di hadapan panel juri yang menilai aspek kepimpinan, pemikiran strategik, komunikasi, visi, impak kepada masyarakat serta potensi sebagai ikon wanita negeri.

wanita
Mereka yang dipilih bukan sekadar penerima anugerah, malah bakal menjadi wajah dan suara wanita Selangor.

Panel penilai terdiri daripada Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed; Ketua Unit Pemasaran dan Pembangunan Usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Noorhazreen Ab Ghani; serta personaliti televisyen, Hazel Desmond.

Pengerusi KWIM Selangor, Norzawani Mohamed Zakaria berkata, format baharu itu diperkenalkan bukan sekadar untuk memilih pemenang, sebaliknya membina platform pembangunan kepimpinan wanita yang lebih berprestij, telus dan berimpak.

“Kami mahu Wanita Ikon Selangor dikenali sebagai satu pengiktirafan yang benar-benar berprestij.

“Justeru, proses pemilihan bukan hanya berdasarkan pencapaian, tetapi turut menilai keupayaan calon menyampaikan idea, mempamerkan kepimpinan serta membuktikan impak sebenar kepada masyarakat.

“Mereka yang dipilih bukan sekadar penerima anugerah, malah bakal menjadi wajah dan suara wanita Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua penerima anugerah akan mengikuti siri pembangunan kepimpinan dan persediaan khas sebagai persiapan menghadapi Anugerah Wanita Ikon Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung pada penghujung September ini bagi mewakili Selangor di peringkat nasional.

Dalam majlis sama, KWIM Selangor turut merakamkan penghargaan kepada LADO By The Lake selaku penaja utama serta beberapa penaja bersama atas sokongan dalam menjayakan penganjuran majlis berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button