Pengurusan restoran nasi kandar mohon maaf
Bungkus makanan guna kertas pembalut tertera kalimat 'Allah', 'Muhammad' dan 'Masya Allah'
SEPANG – Pengurusan Restoran Thoulath Maju cawangan Kota Warisan, di sini memohon maaf susulan penggunaan bungkusan makanan tertera kalimat ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masya Allah’.
Pengurus restoran cawangan tersebut, Abdul Razak Abu Bakar berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh dengan menukar bungkusan makanan lama itu kepada versi yang baharu sejak malam semalam, lapro SH Online.
Menurutnya, pihak pengurusan sama sekali tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti umat Islam dan berlapang dada menerima kritikan pelanggan demi penambahbaikan operasi perniagaan.
“Saya mewakili tiga cawangan Restoran Thoulath Maju benar-benar memohon maaf, kesilapan ini berlaku di premis di Kota Warisan. Namun, sekarang kami telah menukar bungkusan baharu di semua cawangan juga.
“Disebabkan tular di media sosial, kami segera menukar pembungkusan, kesilapan kami tidak menyedari bungkusan lama mengandungi kalimat ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masya Allah’.
“Kami akui kesilapan dan memastikan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial hantaran seorang pengguna yang mendakwa restoran berkenaan menggunakan pembalut makanan tertera kalimat berkenaan.
Bagaimanapun, dalam hantaran susulan, pemuda tersebut mengesahkan restoran itu sudah menukar bungkusan makanan kepada corak baharu, dalam masa sama berharap agar kejadian sedemikian tidak lagi berlaku pada masa akan datang.
Mengenai kertas balutan lama yang menimbulkan kontroversi berkenaan, Abdul Razak berkata ia disimpan dengan baik dan tidak dibuang atau dimusnahkan.
“Itu bungkusan saya tidak buang, mana boleh buang, berdosa kerana ada kalimat suci ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masya Allah’.
“Saya simpan sahaja di dalam stor. Apa pun, saya benar-benar memohon maaf dan berjanji memperbaiki perkhidmatan kami,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















