JENAYAH & MAHKAMAH

Suami isteri warga emas rentung, rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kudat

KUDAT – Sepasang suami isteri warga emas rentung selepas rumah dua tingkat yang mereka diami musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kampung Lausan, Batu 4, di sini malam tadi.

Dalam kejadian tragis itu, mangsa lelaki berusia 74 tahun dan isterinya, 73, ditemukan di dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.58 malam sebelum 10 anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.

“Pasukan kita tiba di lokasi pada pukul 12.36 tengah malam dan mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat terbakar 100 peratus.

“Operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran berikutan laluan sempit termasuk sebuah jambatan kecil serta kedudukan wayar elektrik rendah yang menghalang pergerakan jentera bomba ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 1.30 pagi dengan mangsa pertama dikeluarkan pada pukul 2 pagi manakala mangsa kedua ditemukan dan dikeluarkan pukul 3.50 pagi.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan serta siasatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.47 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi bahaya lain dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button