Bomba Putrajaya pantau situasi susulan hujan lebat
PUTRAJAYA – Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya menggerakkan anggotanya bagi memantau situasi kenaikan air susulan hujan lebat di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Putrajaya, Muhamad Haziq Hazmi, pihaknya menerima laporan berhubung kenaikan air di kawasan itu, justeru pemantauan segera dilaksana bagi memastikan keadaan terkawal serta tidak membabitkan sebarang mangsa, lapor BERNAMA.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial menunjukkan kawasan parkir di pusat beli-belah terbabit dinaiki air susulan hujan lebat, hari ini.
Beliau kemudiannya menambah, pihaknya turut menerima beberapa aduan berkaitan kejadian air bertakung dan kawasan berisiko banjir berikutan hujan lebat melanda sekitar Putrajaya bermula pukul 3 hingga 4 petang tadi.
Sehubungan itu, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 serta BBP Presint 14 telah melaksanakan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi tumpuan bagi memastikan keadaan selamat serta terkawal.
Antara lokasi terbabit ialah kawasan Perumahan Presint 9 Fasa 5 dan 6, Tunnel Presint 11, Apartmen Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Seruling Presint 5, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, serta sekitar Presint 16 dan Presint 17.
“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap sistem perparitan dan paras air di kawasan berisiko berlaku takungan air, bagi mengelakkan kejadian banjir kilat.
“Pemantauan berterusan juga dilaksanakan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta dengan kerjasama Putrajaya Command Centre (PPj),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam kenyataan sama turut menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau peningkatan paras air di kawasan masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








