BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026

KUALA LUMPUR – Inflasi di Malaysia meningkat kepada 1.6 peratus pada Januari 2026, dengan Indeks Harga Pengguna (CPI) mencatat 135.7 berbanding 133.6 pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Uzir Mahidin, peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan harga dalam kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Selain itu, sektor pendidikan, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut menyumbang kepada kenaikan inflasi, manakala kumpulan rekreasi, sukan dan kebudayaan juga mencatat peningkatan yang memberi impak terhadap kadar inflasi keseluruhan.

“Kedua-dua kumpulan minuman beralkohol dan tembakau meningkat 2.5 peratus, manakala makanan dan minuman mencatat kenaikan 1.5 peratus, sama seperti yang direkodkan pada Disember 2025,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kenaikan perlahan bagi kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan sebanyak 5.5 peratus berbanding 5.6 peratus pada bulan sebelumnya. Sementara itu, restoran dan perkhidmatan penginapan merekodkan 3.0 peratus berbanding 3.1 peratus.

“Bagi kumpulan kesihatan, inflasi tercatat 1.4 peratus, maklumat dan komunikasi 0.7 peratus manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.2 peratus. Perkembangan ini sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat,” tambah beliau.

Sementara itu, inflasi bagi pakaian dan kasut kekal tidak berubah pada paras 0.1 peratus berbanding tahun sebelumnya. Inflasi pengangkutan pula mencatat trend menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Januari 2026 berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Daripada segi negeri, tiga negeri mencatat inflasi melebihi paras nasional iaitu Johor (2.1 peratus), Negeri Sembilan (2.0 peratus) dan Pahang (1.9 peratus). Baki 13 negeri lain mencatatkan kenaikan di bawah atau sama dengan kadar inflasi nasional, dengan Kelantan mencatat inflasi terendah pada 0.3 peratus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button