BERITA SEMASA

Pendaftaran PADU rendah: Kerajaan akan guna data jabatan lain – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggunakan data terkumpul daripada 217 jabatan dan agensi berkaitan kerajaan, susulan kadar pendaftaran bagi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang rendah, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Kita ada lima minggu lagi untuk pendaftaran PADU. Pada masa sama, seperti kata Ketua Perangkawan, kita telah mengumpul data di 217 jabatan dan agensi, melibatkan kira-kira 30.07 juta rakyat Malaysia.

“Ini akan menjadi asas untuk pertimbangkan semula dasar dan program kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran percubaan teknologi Maxis 5G-Advanced di ibu negara hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian selepas ditanya mengenai bilangan orang yang telah mengemaskini maklumat mereka dalam sistem PADU mencecah 3.43 juta, bersamaan dengan 10 peratus daripada penduduk Malaysia setakat 15 Februari tahun ini.

Justeru itu, Fahmi menggesa agar rakyat di negara ini untuk mengemaskini maklumat masing-masing di sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebelum ia ditutup 31 Mac depan.

“Ambil kesempatan ini kerana data yang terkumpul daripada agensi lain mungkin daripada tahun lalu ataupun beberapa tahun lalu. Jadi, bukan yang terkini.

“Ambil kesempatan ini supaya kita boleh kemas kini maklumat itu. Sekiranya kerajaan ingin menyalurkan bantuan, maka sangat mudah untuk kita peroleh,” katanya.

Fahmi turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan siber bagi sistem PADU akan diberi perhatian oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Cyber Security Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi agar maklumat peribadi pengguna sentiasa dilindungi.

“Insya-Allah tidak ada apa-apa masalah dari segi keselamatan siber dan keselamatan data. Sangat terkawal kerana pihak Jabatan Perangkaan adalah badan yang selama ini mengumpulkan data,” katanya lagi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button