BERITA SEMASA

Punca kematian wadar Penjara Penor masih misteri

KUANTAN – Punca sebenar kematian seorang wadar Penjara Penor yang ditemukan maut di kediamannya di Taman Seri Inderapura, di sini, masih belum dapat dikenal pasti dan kini menunggu keputusan analisis makmal.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, bedah siasat ke atas Allahyarham Muhammad Hariri Kamarudin, 26, telah dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), namun keputusan awal diklasifikasikan sebagai Pending Investigation.

Menurutnya, sampel darah serta organ dan tisu mangsa akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis lanjut untuk menentukan punca kematian sebenar.

“Setakat ini, hasil bedah siasat belum dapat mengesahkan punca kematian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan sementara menunggu keputusan makmal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kemungkinan mangsa terkena renjatan elektrik ketika mengharungi air banjir di ruang tamu rumahnya, Ashari berkata perkara itu tidak dapat disahkan melalui bedah siasat yang dijalankan.

Dalam kejadian semalam, bapa mangsa dilaporkan pulang ke rumah selepas Allahyarham tidak kembali ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum menemukan anaknya dalam keadaan tertiarap di dalam air di ruang tamu kediaman tersebut.

Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, selain berharap keluarga mangsa diberikan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button