PMX

Anwar adakan pertemuan dengan 15 syarikat tersenarai dalam Fortune 500

NEW YORK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan 15 syarikat terkemuka Amerika Syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 sebagai usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara pada hari keduanya di sini.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, syarikat-syarikat tersebut termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services (AWS), Boeing, ConocoPhilips dan Kimberly-Clark.

Katanya, dalam pertemuan tersebut, beliau telah berkongsi mengenai kerangka Ekonomi Madani yang disokong oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Kajian Separuh Penggal RMK-12 yang akan menjadi panduan dalam mencapai matlamat pembangunan negara.

“Saya juga hargai maklum balas positif dan input-input membina yang dikongsikan oleh syarikat-syarikat ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, berkata Majlis dan Dewan Perniagaan seperti US-ASEAN Business Council (USABC) dan United States Chamber of Commerce (USCC) berperanan sebagai medium antara kerajaan dan komuniti perniagaan.

Katanya, kerjasama tersebut merupakan pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan yang akhirnya bermanfaat untuk rakyat.

Menurut Anwar lagi, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar sejak tahun 2015.

Tambah Anwar, dari segi pelaburan dalam sektor pembuatan, sebanyak RM1.84 bilion (USD395 juta) diterima Malaysia menerusi FDI dari Amerika Syarikat, sekali gus menyumbang kepada 1,558 peluang pekerjaan.

“Semoga Malaysia mampu menarik lebih banyak pelaburan baharu daripada syarikat-syarikat gergasi Amerika,” harapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button