KEMENTERIAN PERTAHANAN

MINDEF sahkan perolehan sistem artileri CAESAR dari Perancis

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan perolehan sistem artileri gerak sendiri (SPH) CAESAR 155mm dari Perancis bagi memperkukuh aset pertahanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan telah bersetuju dengan perolehan sistem artileri tersebut dan ia akan menjadi tambahan baharu kepada aset ketenteraan negara.

“Butiran mengenai tempoh penghantaran akan diumumkan kemudian,” katanya selepas melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rancangan Tindakan Keupayaan Pertahanan (RTKP) di ibu negara, hari ini.

Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini dilaporkan telah meluluskan perolehan berkenaan pada tahun 2024, namun Kementerian Pertahanan diminta merunding semula harga sistem artileri tersebut sebelum dimuktamadkan.

MOF juga dilaporkan memperuntukkan RM50 juta bagi fasa pertama pemerolehan pada November 2025 dan proses berkenaan dijangka dimuktamadkan tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Khaled mempertahankan keputusan Malaysia memperoleh tiga sistem pesawat tanpa pemandu ANKA-S dari Turkiye tanpa kelengkapan senjata ofensif kerana ia memenuhi keperluan operasi dan lebih menjimatkan kos.

Katanya, tujuan utama ANKA-S adalah untuk pemantauan dan pengumpulan risikan, manakala kos persenjataan untuk ANKA-S mencecah hampir RM300 juta dan ia hanya akan dipasang jika pesawat tersebut diperlukan untuk misi ofensif.

Menurut Khaled, Malaysia merancang memperoleh sembilan unit ANKA-S secara berperingkat, dengan tiga unit pertama telah ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan.

Tambah beliau, perjanjian dengan Turkiye turut merangkumi pemindahan teknologi yang membolehkan Malaysia membangunkan sistem persenjataan sendiri untuk dipadankan dengan pesawat tanpa pemandu itu pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button