BERITA SEMASA

400 pelajar ikuti program lawatan kerjaya anjuran Pangkalan Udara Subang

KUALA LUMPUR – Hampir 400 orang pelajar dari pelbagai institusi ‘berkampung’ di Pangkalan Udara Subang sempena Program Lawatan Kerjaya TUDM yang dianjurkan baru-baru ini.

Kesemua mereka diiringi 58 orang guru dari Universiti Poly-Tech Malaysia, SK TUDM Subang, SK Mendum, Negeri Sembilan; SK Rimba, Johor; Tabika Kemas TUDM Subang, Tabika Perpaduan Bandar Puncak Alam dan Tabika Aerokid, Subang.

 

Para pelajar dibawa melawat aset yang dimiliki TUDM.

Menurut kenyataan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dikongsikan Kementerian Pertahanan (MINDEF) di laman Facebook, objektif program yang berlangsung pada 7 Disember itu adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dan guru berkenaan organisasi, tugas serta tanggungjawab TUDM dalam menjaga kedaulatan negara.

“Antara pengisian dalam program ini adalah taklimat keselamatan kepada sekolah yang terlibat daripada Skn 211 Handau, Taklimat Kerjaya oleh MTU-BSM (Bahagian Kerjaya dan Pengambilan) dan Lawatan ke Pameran Muzium TUDM serta pameran statik aset-aset TUDM iaitu pesawat A400M, C-130H, CN-235 dan Beechcraft B 200T.

Sekumpulan kanak-kanak Tabika teruja dapat mengikuti program ini.

“Program ini turut dimeriahkan dengan penyertaan daripada warga PU Subang yang mana memberi peluang kepada ahli keluarga mereka melihat secara lebih dekat dan berswafoto bersama aset-aset TUDM yang dioperasikan di Pangkalan Udara Subang,” menurut kenyataan tersebut.

Diadakan buat julung kalinya, program tersebut telah menerima maklum balas yang positif daripada peserta yang hadir dan diharapkan dengan program sebegini dapat memberi maklumat yang jelas kepada para pelajar dan guru berkenaan TUDM.

Selain itu, diharapkan juga ia dapat memberi motivasi kepada para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan berminat menyertai bidang ketenteraan pada masa akan datang kerana mereka adalah pelapis yang akan terus menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button