PRN Negeri Sembilan: PH kesal insiden vandalisme bahan kempen
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) kesal dengan beberapa kejadian kerosakan bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 miliknya di beberapa kawasan, malam tadi.
Menurut kenyataan media dikeluarkan Sekretariat Pusat Media PRN Negeri Sembilan, kejadian dikatakan berlaku di kawasan DUN Palong dan DUN Chembong.
“Laporan yang diterima melibatkan kerosakan bendera yang dibakar di DUN Palong malam tadi dan pancang bendera yang rosak atas perbuatan khianat di N31 DUN Chembong, pagi ini.
“Kami ingin memaklumkan bahawa kami berhak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan (kerana melakukan khianat) sekiranya terbukti bahan kempen pilihan raya seperti poster, bendera atau sepanduk dikhianati, dirosakkan, atau diturunkan oleh pihak lawan,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Kenyataan itu menambah, PH tidak berniat menunding jari kepada mana-mana pihak, namun pengarah Pilihan Raya Bilik Gerakan DUN telah dinasihatkan untuk membuat laporan yang sewajarnya.
“Kami ingin menyeru supaya perkara seumpama ini tidak melarat menjadi budaya dalam kalangan penggiat politik di negara ini.
“Kami juga berharap seluruh anggota dan jentera PH tidak membalas semula perbuatan ini yang mungkin dilakukan oleh pihak yang mahu mengeruhkan keadaan.
“Berkempenlah dengan sihat kerana hak untuk berpolitik dan berkempen termaktub secara tidak langsung dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan melalui beberapa peruntukan Kebebasan Asasi (Bahagian II) serta hak politik asas lain,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut, hati rakyat dan pengundi perlu dimenangi dengan dasar polisi yang jelas dan bukannya menerusi politik khianat kebencian yang tidak berasas sama sekali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















