BERITA SEMASA

Pentadbiran Negeri Sembilan perlu terus berfungsi lancar – Tuanku Muhriz

SEREMBAN – Pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan perlu diteruskan seperti biasa bagi memastikan kelangsungan tadbir urus negeri berjalan dengan teratur serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, walaupun terdapat ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiringi baginda dalam perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), perkara itu tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan berkenaan.

Titah baginda, kestabilan pentadbiran perlu menjadi keutamaan agar segala urusan kerajaan negeri dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

“Beta berdoa kepada Allah SWT supaya negeri dan rakyat beta terus diberikan kesejahteraan dan hidup dalam suasana harmoni melalui kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan exco kerajaan negeri.

“Beta berasa amat bersyukur kerana kerjasama kukuh dalam kerajaan beta terus menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada tahun lepas,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Ke-15 di sini.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Bagaimanapun, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak hadir pada persidangan tersebut.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan harapan agar pentadbiran negeri terus diperkukuhkan demi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan sentiasa terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button