BERITA SEMASA

El Nino: Beberapa kawasan di Negeri Sembilan alami kemarau

SEREMBAN – Fenomena El Nino mengakibatkan beberapa kawasan di negeri ini tidak menerima hujan sehingga mencapai tempoh 13 hari berturut- turut.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, empat kawasan dikesan tidak menerima hujan berterusan sehingga 13 hari manakala beberapa lagi kawasan di negeri itu tidak menerima hujan sehingga 10 hari berturut-turut.

“Kawasan yang terjejas termasuk Pusat Ternakan Haiwan Jelai, Felda Palong Lima, Tampin dan Jempol yang mengalami kemarau selama 13 hari berturut-turut diikuti oleh Gemencheh dengan rekod kemarau selama 10 hari manakala, Kuala Pilah dan Jelebu mencatatkan 10 hari kemarau tanpa hujan sehingga dua hari lepas”, katanya pada sidang media di Wisma Negeri semalam.

Aminuddin berkata, suhu harian di beberapa bahagian negeri ini mencapai tahap berjaga-jaga, dengan suhu maksimum mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut di Seremban, Jelebu, Rembau, dan Tampin.

“Orang ramai juga diingatkan agar mengurangkan aktiviti luar, utamakan penjagaan kesihatan terutamanya ketika menjalani ibadah puasa ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau menyeru aktiviti pembakaran terbuka dihentikan serta merta di seluruh negeri bagi mengelak kebakaran.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa bekalan air dari empangan dan sungai di negeri ini berada pada paras mencukupi tanpa sebarang laporan mengenai pesawah yang terjejas akibat cuaca panas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button