Keputusan kerajaan Britain bebas awal 70,000 banduan cetus kontroversi
LONDON – Lebih 70,000 banduan dibebaskan lebih awal menerusi skim pelepasan awal yang diperkenalkan kerajaan Parti Buruh sejak September tahun lalu bagi mengurangkan kesesakan di penjara dalam langkah yang mencetuskan kontroversi.
Data terbaharu Kementerian Kehakiman Britain menunjukkan seramai 70,066 banduan telah dibebaskan di bawah skim Standard Determinate Sentence 40 (SDS40), termasuk 9,958 banduan yang dibebaskan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Menerusi skim yang diperkenalkan oleh Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood ketika memegang portfolio Menteri Kehakiman, banduan layak dibebaskan selepas menjalani hanya 40 peratus daripada tempoh hukuman yang dijatuhkan mahkamah.
“Bagaimanapun, kerajaan dijangka memperkenalkan skim baharu pada awal September yang membolehkan lebih ramai banduan, termasuk pesalah seks dan jenayah keganasan serius, dibebaskan lebih awal,” lapor DailyMail.
Di bawah cadangan itu, kebanyakan banduan boleh dibebaskan selepas menjalani satu pertiga daripada hukuman jika menunjukkan kelakuan baik di penjara, manakala pesalah keganasan serius dan jenayah seksual layak dibebaskan selepas menjalani separuh daripada tempoh hukuman.
Cadangan tersebut menerima bantahan pelbagai pihak, termasuk keluarga mangsa jenayah, apabila dua pembunuh anggota polis Britain, Andrew Harper, dilaporkan turut layak dipertimbangkan untuk pelepasan awal.
Balu mendiang, Lissie Harper, menyifatkan cadangan itu sebagai sesuatu yang ‘tidak boleh diterima’, manakala beberapa mangsa sindiket eksploitasi seksual kanak-kanak turut membantah selepas dimaklumkan pelaku jenayah terhadap mereka berkemungkinan mendapat manfaat daripada skim tersebut.
Pelaksanaan SDS40 sebelum ini turut mengundang kritikan apabila beberapa banduan yang dibebaskan dilihat meraikan kebebasan mereka di luar penjara, termasuk disambut dengan kereta mewah.
Kerajaan Parti Buruh bagaimanapun mempertahankan dasar itu dengan menyatakan pelepasan awal adalah langkah perlu bagi mengatasi masalah kesesakan penjara yang kritikal, selain menyalahkan pentadbiran terdahulu kerana gagal menambah kapasiti penjara.
Dalam perkembangan sama, statistik rasmi Kementerian Kehakiman menunjukkan kadar banduan mengulangi kesalahan meningkat kepada 29.9 peratus bagi tempoh Julai hingga September 2024, meningkat 1.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Sepanjang tempoh itu, kira-kira 26,000 bekas banduan didapati mengulangi jenayah dengan lebih 133,000 kesalahan baharu direkodkan dalam tempoh susulan selama setahun.
Bagaimanapun, Kementerian Kehakiman memaklumkan masih belum dapat dipastikan sama ada peningkatan kadar jenayah berulang itu berpunca secara langsung daripada pelaksanaan skim pelepasan awal kerana terdapat beberapa perubahan dasar lain yang turut dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.
Jurucakap kementerian berkata, kerajaan komited melindungi keselamatan awam menerusi pembinaan kapasiti penjara baharu, pelaburan sebanyak £700 juta bagi memperkukuh sistem pemulihan dan hukuman komuniti serta memastikan pesalah berbahaya terus dipenjarakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















