Banduan seluruh negara cecah lebih 84,000, melebihi kapasiti maksimum
KUALA LUMPUR – Lebih 84,000 banduan kini menghuni penjara di seluruh negara, sekali gus melepasi kapasiti maksimum yang ditetapkan iaitu 76,311, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, setakat ini seramai 84,143 banduan ditempatkan dalam fasiliti penjara, manakala 6,640 lagi mengikuti program pemulihan dalam komuniti.
“Ini menunjukkan berlaku kesesakan dengan lebihan 7,872 banduan berbanding kapasiti maksimum,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai langkah mengurangkan kesesakan penjara yang didorong kesalahan berkaitan dadah, termasuk cadangan menilai semula dasar sedia ada seperti dekriminalisasi penggunaan dadah secara terkawal serta pengalihan pesalah kecil ke program pemulihan komuniti.
Shamsul menjelaskan, kerajaan sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan dan pemulihan bagi menangani isu tersebut.
“Antara usaha signifikan ialah penubuhan Pusat Koreksional Chenderiang di Tapah, yang berfungsi mengasingkan pesalah jenayah dadah di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pengasingan ini membolehkan rawatan serta program pemulihan dijalankan dengan lebih terfokus. Seterusnya, kita mempersiapkan mereka untuk menyertai pemulihan dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja mengurangkan tekanan terhadap penjara utama, malah berpotensi menurunkan kadar pengulangan kesalahan.
Selain itu, Shamsul berkata, program pemulihan dalam komuniti turut diperluaskan melalui sistem parol dan pembebasan banduan secara berlesen, yang memberi peluang kepada banduan layak menjalani proses pemulihan dalam persekitaran terkawal di luar tembok penjara.
“Inisiatif ini selaras dengan hala tuju penjara yang menyasarkan dua pertiga banduan layak menyertai program pemulihan komuniti, sekali gus mengurangkan kesesakan serta menyokong integrasi semula mereka ke dalam masyarakat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








