BERITA SEMASALUAR NEGARA

Britain tawar bantu bina semula Gaza dengan kos permulaan RM118 juta

LONDON – Britain menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan utama dalam usaha pembinaan semula Gaza, sekali gus menandakan komitmen baharu kerajaan pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer terhadap krisis kemanusiaan di wilayah bergolak itu.

Starmer dijangka mengumumkan sumbangan kemanusiaan sebanyak RM118 juta (AS$26.7 juta) pada Sidang Kemuncak Keamanan Gaza yang berlangsung di Sharm el-Sheikh, Mesir, semalam.

Dana berkenaan akan digunakan bagi membaik pulih infrastruktur asas seperti sistem air, sanitasi dan kebersihan yang musnah akibat konflik berdarah berlarutan selama dua tahun.

Sidang berkenaan dipengerusikan bersama oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi beberapa hari selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas dimeterai pada Jumaat lalu.

Langkah itu dilihat sebagai satu usaha diplomatik penting ke arah pemulihan Gaza serta mengembalikan kestabilan serantau selepas kemusnahan besar yang dialami penduduk Palestin.

Dalam pada itu, kerajaan Britain turut mengumumkan penganjuran satu persidangan khas selama tiga hari di London bagi membincangkan pelan pemulihan pascaperang Gaza, termasuk proses transformasi dan pembaharuan Pihak Berkuasa Palestin.

Persidangan itu dijangka menghimpunkan pemimpin dan wakil antarabangsa dari Jerman, Itali, Arab Saudi, Jordan serta wakil Pihak Berkuasa Palestin, selain penyertaan sektor swasta dan institusi kewangan pembangunan global.

Langkah proaktif Britain itu sebagai isyarat kuasa Barat mula memberi perhatian semula terhadap isu Palestin bukan hanya dari aspek keamanan tetapi juga dalam usaha membina semula masa depan yang lebih stabil dan bermaruah bagi rakyat Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button