Empat terkorban dalam serangan rejim Zionis di Gaza
GAZA – Empat rakyat Palestin, termasuk anak lelaki Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh, maut dalam beberapa serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza yang memperlihatkan pencabulan berterusan rejim negara haram itu sejak gencatan senjata Oktober tahun lalu.
Mangsa dikenali sebagai Basir al-Bursh, 28, yang maut selepas dron Israel menyerang beliau di kawasan al-Zahra, barat kem pelarian Jabalia di utara Gaza, menurut sumber perubatan.
Dalam kejadian berasingan, seorang lagi rakyat Palestin maut selepas kawasan kejiranan Shujaiya, timur Gaza City, diserang dron Israel.
Seorang kanak-kanak perempuan turut meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami sebelum ini selepas terkena tembakan tentera Israel di utara kem pelarian Nuseirat, Gaza tengah.
Di utara Gaza City pula, seorang rakyat Palestin maut manakala sekurang-kurangnya tujuh lagi cedera selepas sebuah kenderaan awam diserang dron Israel di kawasan Sheikh Radwan.
Sumber perubatan memaklumkan dua kanak-kanak perempuan antara yang cedera dalam serangan itu, dengan seorang dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, saksi melaporkan kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan secara berselang-seli di timur kem pelarian Jabalia, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Di selatan Gaza, tentera Israel dilaporkan melepaskan tembakan di kawasan al-Shakoush, barat daya Khan Younis, manakala dron menjatuhkan bom di beberapa lokasi berhampiran.
Helikopter tempur Israel turut dilapor melepaskan tembakan hebat di selatan kawasan al-Mawasi, barat Khan Younis, serta kawasan bersebelahan Rafah.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 1,400 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 4,800 lagi cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.
Secara keseluruhan, lebih 73,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh manakala lebih 174,000 lagi cedera sejak konflik tercetus pada Oktober 2023, menurut angka pihak berkuasa kesihatan Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








