15 cedera, tiga parah dalam kemalangan bas dan lori di Rawang
RAWANG – Seramai 15 orang cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan lori tiga tan di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, antara Sungai Buaya dan Rawang, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di lokasi pada jam 5.51 pagi.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah bas yang membawa 40 penumpang serta dua pemandu, dengan seramai 38 penumpang berjaya keluar sendiri, manakala empat mangsa tersepit di dalam bas.
“Pemandu lori turut terperangkap di dalam kenderaannya dan operasi menyelamat dijalankan segera bagi mengeluarkan semua mangsa,” memetik laporan Awani online.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, dengan lapan mangsa dirawat di zon hijau, empat di zon kuning dan tiga lagi di zon merah.
Tambahnya, operasi menyelamat berdepan kesukaran apabila seorang penumpang lelaki berusia sekitar 50-an tersepit akibat dihimpit struktur pembahagi jalan, namun berjaya dikeluarkan sepenuhnya pada jam 8.53 pagi.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan menerusi platform X bahawa semua lorong arah selatan masih terhalang, manakala lorong kanan dan tengah arah utara ditutup setakat jam 9.23 pagi.
“Keadaan trafik dilaporkan sesak sejauh lima kilometer ke arah selatan dan perlahan sejauh tiga kilometer ke arah utara,” menurut kenyataan itu lagi.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif, dengan kenderaan berat disaran keluar di Plaza Tol Bukit Beruntung manakala kenderaan ringan di Plaza Tol Sungai Buaya.
LLM turut memaklumkan laluan kontra telah diaktifkan bagi melancarkan aliran trafik susulan kejadian berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








