Caruman KWSP wajib pekerja asing berkuat kuasa bulan ini
KUALA LUMPUR – Dasar baharu menetapkan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bukan warganegara Malaysia akan dikuatkuasakan bermula gaji bulan ini, iaitu untuk caruman November depan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kadar caruman ditetapkan pada dua peratus daripada gaji bulanan masing-masing bagi pekerja dan majikan.
“Langkah ini menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja daripada semua kewarganegaraan,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad berkata, majikan yang belum berdaftar dengan KWSP dikehendaki mendaftarkan syarikat mereka bagi memastikan pematuhan serta peralihan yang lancar.
“Pendaftaran majikan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.
“Pendaftaran pekerja bukan warganegara Malaysia sebagai ahli KWSP melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian pula dilaksanakan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, majikan boleh menyemak secara dalam talian melalui i-Akaun (Majikan) untuk memastikan pendaftaran dilaksanakan dengan tepat.
“Bagi pemegang pas lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, pekerja disaran melengkapkan pendaftaran sebagai ahli KWSP dengan membuat pengemaskinian rekod cap ibu jari mulai Januari 2026 di pejabat KWSP berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








