BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANLUAR NEGARA

TH terima Anugerah Labbaittom Tertinggi untuk tahun ke empat berturut

MEKAH – Malaysia terus mengukir sejarah apabila Tabung Haji (TH) menerima Anugerah Labbaittom – Diamond Award, pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, untuk tahun ke empat berturut-turut.

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar sempena Majlis Penutupan Musim Haji 1446H/2025M.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, pencapaian TH yang itu bukan sahaja mengukuhkan kecemerlangan agensi itu buat kali keempat berturut-turut malah merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap sistem pengurusan haji negara.

“Penganugerahan itu diperoleh hasil proses penilaian komprehensif dan ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi, meliputi aspek pengurusan, kebajikan serta keselamatan jemaah haji.

“Saya dimaklumkan bahawa skor penilaian yang diberikan kepada Tabung Haji hampir menyamai skor pasukan audit Labbaittom sendiri iaitu sekitar 95 hingga 96 peratus. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, anugerah berprestij itu menjadi pendorong utama kepada TH untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia.

“Komitmen ini sejajar dengan usaha berterusan dalam memastikan kepuasan dan keselamatan jemaah.

“Seiring itu, TH akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan syarikat pengurusan haji Arab Saudi, Al Mashariq Al Masiah, demi memastikan perkhidmatan yang diberikan kekal efisien dan berintegriti.

“Kita tidak akan menunggu lama. Post-mortem akan segera dilaksanakan bagi menilai segala aspek dan kelemahan, dengan penekanan khusus pada kebajikan dan keselamatan jemaah,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, TH juga merangka pelan penambahbaikan melibatkan infrastruktur di Mina, selain mengenal pasti beberapa bangunan penginapan baru berikutan tamat tempoh perjanjian sedia ada.

“Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dijadualkan mengadakan rundingan lanjut dengan pemilik bangunan bagi memastikan hotel-hotel yang bakal digunakan memenuhi aspek keselesaan dan kedekatan dengan Masjidil Haram,” jelasnya.

Anugerah Diamond Labbaittom itu membuktikan keupayaan Malaysia, khususnya Tabung Haji, dalam menyusun atur pengurusan haji secara holistik, selaras dengan standard antarabangsa dan aspirasi jemaah haji Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button