BERITA SEMASADALAM NEGERI

Fadhlina perlu pertahan jawatan Ketua Wanita Pusat

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek diminta mempertahankan jawatannya dalam pemilihan tahun ini bagi memastikan kesinambungan dasar dan program yang telah dirancang.

Seruan itu dibuat oleh Ketua Wanita KEADILAN Negeri Sarawak, Victoria Musa yang menegaskan bahawa kepimpinan Fadhlina amat diperlukan untuk membawa sayap parti itu ke tahap lebih tinggi.

Victoria Musa

Victoria menggambarkan kepimpinan Fadhlina melalui pepatah, ‘Jangan beri ikan, tetapi berilah pancing. Ikan pasti habis dimakan, tetapi pancing menjadi sumber pendapatan.’

Pepatah itu menurutnya, mencerminkan pendekatan kepimpinan Fadhlina yang bukan sahaja memberikan bantuan segera tetapi melengkapkan wanita dengan ilmu dan kemahiran agar mereka mampu berdikari serta menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

“Pengalaman luas dan pemahaman mendalam terhadap isu-isu wanita menjadikan Fadhlina calon terbaik untuk meneruskan kepimpinan Wanita KEADILAN.

“Beliau bukan sekadar berbicara mengenai visi dan matlamat, tetapi turut mengambil tindakan nyata dalam merealisasikannya,” tegas Victoria dalam satu kenyataan media.

Di bawah kepimpinan Fadhlina, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, termasuk Sekolah Wanita (SWAN), program digitalisasi ASAK, serta kempen kesihatan SAYANGI DIRI yang melaksanakan saringan HPV DNA di beberapa negeri.

Di Sarawak, beliau dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa meluangkan masa untuk menyantuni wanita serta menangani isu-isu pendidikan yang membelenggu negeri itu.

Menurut Victoria, dedikasi dan keprihatinan Fadhlina terhadap pembangunan wanita menjadikannya pemimpin yang wajar dikekalkan bagi memastikan kesinambungan usaha yang telah dijalankan.

“Melalui sumbangan dan dedikasi yang berterusan terhadap perjuangan wanita dan masyarakat, Fadhlina Sidek dilihat sebagai pemimpin yang harus dikekalkan untuk menerajui Wanita KEADILAN ke hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button