‘Tiga kali dia hadir dalam mimpi, dia nak balik’ – Isteri Loe Solo
KUALA LUMPUR – Isteri Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa masih menyimpan harapan agar suaminya kembali ke pangkuan keluarga selepas hampir dua bulan gagal dihubungi susulan bencana banjir di Nepal.
Hani Othman menerusi hantaran di Facebook awal pagi tadi berkongsi bahawa suaminya yang lebih dikenali sebagai Loe Solo, sudah tiga kali hadir dalam mimpinya seolah-olah menyampaikan hasrat untuk pulang.
“Aku tahu dia nak balik. Tiga kali dia hadir dalam mimpi aku. Dia nak balik,” tulisnya.
Menurut Hani, mengenali peribadi Loe membuatkan dia percaya suaminya itu seorang yang sangat mementingkan keselamatan, bukan sahaja untuk dirinya sendiri, malah orang lain.
Katanya, Loe sentiasa berusaha sedaya upaya untuk terus hidup dan tidak akan mengambil risiko yang boleh mengancam nyawanya tanpa pertimbangan sewajarnya.

Hani turut mengimbas pengalaman suaminya ketika menyertai ekspedisi ke Everest sebelum ini apabila Loe mengalami cirit-birit, namun mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pendakian ke puncak.
Menurutnya, walaupun Loe sangat ingin sampai ke puncak, suaminya itu memilih untuk berpatah balik kerana bimbang kehilangan tenaga dan berdepan risiko maut ketika turun dari gunung.
“Kalau dia nak push summit, dia boleh push sampai ke puncak, tapi dia akan hilang tenaga dan berisiko untuk mati waktu turun nanti.
“Jadi, dia buat keputusan untuk tak terus ke puncak walaupun dia nak sangat ke puncak. Tapi dia dah janji dengan keluarga untuk pulang dengan selamat,” katanya.
BACA JUGA:
Isteri Loe Solo terus berdoa, harap usaha pencarian diteruskan
Isteri Loe Solo sudah serah semua petunjuk kepada polis Nepal
Bagaimanapun, Hani berkata, perjalanan Loe ke Nepal kali ini berbeza kerana ia sekadar percutian santai dan bukannya ekspedisi pendakian berisiko tinggi.
Justeru, katanya, suaminya tidak membuat janji kepada keluarga untuk pulang dengan selamat seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Namun, Hani tetap yakin Loe mahu kembali ke pangkuan keluarga, seperti yang dirasakannya menerusi tiga mimpi berkenaan.
Mohd Fakhrul Munir dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kumpulannya dalam ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC) melalui laluan Tibet, dipercayai terjejas akibat banjir dan tanah runtuh dahsyat ketika berada di lembah di Rasuwa.
Sebelum ini, Hani dilaporkan berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan anggota kumpulan berkenaan.
Sehingga kini, seramai 54 rakyat Malaysia masih hilang dan gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








